Subscribe:

Ads 468x60px

Monday, October 3, 2011

HTC EVO 3D


SEIRING cogan katanya, pintar dalam senyap (quietly brilliant), HTC sering menjadi peneraju dalam mengintegrasi pelbagai teknologi moden pada telefon bimbit pintar keluarannya. Terbaru, syarikat itu memperkenalkan inovasi fungsi multimedia tiga dimensi (3D) pada model produk telekomunikasi terbaru mereka, HTC EVO 3D.
 
 
Menurut Pengurus Negara HTC Malaysia, SK Wong, penampilan ciri terbaru itu bakal menawarkan pengguna pengalaman multimedia ke satu peringkat lebih baik. Model ini merupakan telefon pintar pertama keluaran HTC yang menyokong format 3D pada aplikasi permainan video, rakaman video serta foto.

"Menerusi model ini, kita mengharapkan HTC terus kekal menjadi peneraju dalam industri produk telekomunikasi di Malaysia,'' katanya pada pelancaran model itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

HTC EVO 3D dipacu oleh sistem operasi Android 2.3 Gingerbread dengan pemproses berkembar 1.2 GHz Qualcomm Snapdragon.

Kameranya pula terbina bersama sokongan resolusi lima megapiksel dan lampu flash LED berkembar berserta pemfokusan automatik.

Kelebihan tersebut bukan sahaja membolehkannya merakam foto berkualiti tinggi tetapi juga imej dan video berformat 3D.

Bagi tujuan itu, fungsi kamera telefon pintar berkenaan tersedia bersama pilihan mod rakaman foto dua dimensi (2D) dan juga 3D.

Apa yang menarik lagi, pengguna tidak perlu mengenakan sebarang kaca mata khas untuk menikmati kesan 3D berkenaan.

Ini kerana, mereka dapat melihat kesan tersebut secara terus daripada skrin QHD bersaiz 4.3 inci.

Untuk membolehkan pengguna menonton paparan secara lebih jelas dan besar pula, pengguna boleh menyambungkan peranti telefon itu terus kepada televisyen menerusi sambungan kabel HDMI.

Spesifikasi lainnya, ia dilengkapi aplikasi HTC Sense 3.0 untuk kemudahan mengakses kandungan telefon hanya dengan satu sentuhan, pelayaran web generasi baru serta kelancaran perjalanan banyak operasi walaupun dijalankan secara serentak.

HTC EVO 3D kini boleh diperolehi daripada pengedar-pengedar HTC yang sah dengan tawaran harga RM2,199.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...