Subscribe:

Ads 468x60px

Monday, October 3, 2011

Perbankan Islam Makin Menyerlah


Produk-produk perbankan Islam semakin diminati berikutan potensi pasaran perkhidmatan kewangan Islam global menghampiri AS$4 trilion (RM12 trilion). Ia terus berkembang meluas sehingga hampir mengatasi produk-produk konvensional. Antara bahagian utama yang telah mendapat kesan positif bagi kewangan Islam adalah pasaran modal, pembiayaan korporat, perbankan runcit, takaful, pelaburan, unit amanah dan khidmat nasihat. 


Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Al-Amin Bank Bhd., Syed Abdull Aziz Syed Kechik (gambar) berkata, Malaysia bakal mengukuhkan kedudukannya sebagai pemacu perbankan Islam dan bank itu akan terus menyokong hasrat negara mengembangkan industri kewangan Islam di peringkat global.

''Berkaitan isu itu, kami merasakan terdapat banyak peluang untuk berkembang dalam usaha menjadikan negara sebagai hab perbankan Islam dan kami percaya mempunyai peranan untuk dilaksanakan.

''Industri kewangan Islam dijangka menjadi pasaran bernilai trilion dolar pada masa hadapan.

''Malah laporan suku kedua Standard & Poor menunjukkan potensi pasaran perkhidmatan kewangan Islam menghampiri AS$4 trilion (RM12 trilion) mewakili penguasaan pasaran sebanyak 10 peratus komuniti Muslin di peringkat global,'' katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Syed Abdull Aziz berkata, sebagai tambahan lebih banyak kerajaan dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mula mengiktiraf kepentingan pasaran modal yang stabil dan berfungsi dengan baik bagi menyokong pembangunan ekonomi.

Katanya, Kuala Lumpur dianggap secara meluas sebagai pusat kewangan Islam dan Malaysia meneraju dalam terbitan Sukuk di peringkat sejagat.

''Perbankan Islam kini merupakan 20 peratus dari aset perbankan negara membuktikan bahawa pertumbuhan hanya berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

''Kunci utama kejayaan Malaysia dalam kewangan Islam disebabkan oleh pelaksanaan polisi berbanding Timur Tengah, Singapura dan Hong Kong,'' jelasnya.

Beliau menambah, OCBC Al-Amin akan terus melabur dalam pembangunan kapasiti dan kemampuan dalam perbankan Islam di rantau ini terutamanya di Singapura, Malaysia, Indonesia dan Brunei.



Syed Abdull Aziz menjangkakan, pada masa hadapan industri akan memberi tumpuan kepada pembiayaan melepasi sempadan dan perjanjian pelaburan yang akan menarik kecairan ke Malaysia.

Terdapat juga penekanan kepada pembangunan produk inovatif dan perkhidmatan sebagai pilihan alternatif untuk pelanggan sebagai contoh Mudharabah/Musyarakah atau perkongsian pendapatan, komoditi dan pelbagai produk struktur berasaskan aset.

0 comments:

Scrapbooking at WiddlyTinks.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...