Subscribe:

Ads 468x60px

Tuesday, September 20, 2011

Permainan Video Mudah Alih


ANGRY Bird, Fruit Slice, Flying Penguin dan Bubble Blast 2, adalah antara permainan mudah alih yang menjadi kegilaan peminat permainan digital hari ini, yang boleh dimainkan menerusi telefon pintar dan tablet, sekali gus mengakui fungsi telefon pintar dan peranti digital bukan hanya semata-mata untuk komunikasi.

Hari ini sahaja, rata-rata pengguna menjadikan telefon pintar dan tablet sebagai alat multimedia pelbagai, seperti mendengar muzik, melayari internet, mengambil gambar, menonton video, bahkan bermain permainan video, yang dahulunya hanya mampu dimainkan dalam komputer meja dan riba.


Inilah yang dikatakan revolusi akibat peredaran zaman menuju era teknologi tinggi. Lagi-lagi dengan kemunculan pelbagai peranti digital yang mampu menyokong aplikasi permainan mudah alih.

Permainan video digital mudah alih ini menjadi fenomena pengguna kerana mudah diperoleh dengan hanya dimuat turun menerusi aplikasi tertentu, pada telefon pintar dan tablet.

Menurut kajian peneraju penyelidikan pasaran, NPD Group, muat turun permainan mudah alih daripada peranti mudah alih mendahului statistik berbanding komputer riba, konsol dan sistem lain.


Manakala menurut Gartner Inc, jumlah muat turun aplikasi mudah alih dijangka mencecah sehingga 17.7 bilion pada 2011, dan mencatatkan peningkatan sebanyak 117 peratus berbanding 8.2 bilion pada 2010.

Kepopularan permainan mudah alih ini turut dipengaruhi oleh penggunaan telefon pintar yang semakin diminati pengguna, apatah lagi kemunculan aplikasi dan Apps Game Mobile yang disokong bagi pengguna IOS dan Android, boleh didapati secara percuma dan berbayar.

Aplikasi permainan video mudah alih ini akan terus berkembang bagi memenuhi permintaan dan keperluan pengguna yang sentiasa inginkan sesuatu yang baru, segar dan menghiburkan mereka.

Selain mudah dibawa kerana bentuk telefon pintar dan tablet yang sememangnya mudah alih, ia juga boleh dimainkan di mana sahaja, sama ada ketika menunggu dan berada di dalam bas, LRT, komuter dan dalam apa jua aktiviti masa lapang.

Permainan mudah alih ini lebih sesuai dimainkan pada tablet seperti ipad, Samsung Galaxy Tab dan juga Motorola Xoom yang mana mempunyai multimedia dan sokongan memori serta pemprosesan yang telah dimajukan, menyokong flash dan pelbagai jenis permainan yang mampu dimainkan pada komputer meja, semuanya kini di hujung jari.

Menariknya, permainan mudah alih ini tidak hanya dihadkan pada pengguna mobil semata-mata tetapi juga boleh dimainkan pada Xbox, PS3, PC, Android dan juga mungkin pada televisyen satelit.

Maka, tidak hairanlah suatu hari nanti, permainan video yang mampu dimainkan pada PS3 turut boleh dimainkan pada telefon pintar dan tablet. Terkini, Sony Ericsson Xperia Play adalah telefon pintar Playstation pertama dunia yang boleh memainkan permainan video PS.

Tidak mustahil juga, permainan video digital mudah alih ini akan diperkembangkan dengan menghasilkan permainan dalam bentuk 3D. Dengan kemajuan industri mudah alih yang sudah pun mencapai kemampuan 3D, maka tidak menjadi halangan untuk permainan mudah alih ini beralih dalam bentuk 3D, iaitu game mobile 3D, pada masa akan datang.

0 comments:

Scrapbooking at WiddlyTinks.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...