Subscribe:

Ads 468x60px

Wednesday, September 21, 2011

Pejabat Kecil Di Rumah


Ruang, aksesori sesuai syarat hidupkan konsep SOHO

KONSEP 'Small Office Home Office' (SOHO) atau pejabat kecil di rumah sudah agak lama diperkenal dan mula popular pada awal dekad ini.

Ia menjadi popular kerana pengusaha dan peniaga memikirkan bahawa melakukan konsep kerja cara begini lebih menjimatkan kerana tidak memerlukan ruang pejabat untuk disewa dan kos lain yang membebankan. Oleh itu, rumah boleh dijadikan pejabat kecil dan pengusaha boleh tinggal dan melakukan aktiviti rumah seperti biasa.

Sebahagian besar mereka yang melakukan kerja di rumah adalah golongan profesional yang enggan terikat peraturan waktu bekerja biasa. Apakah kelebihan berpejabat di rumah? Adakah suasana bekerja di rumah sama seperti di pejabat? Apakah perlu ada ruang khusus untuk mewujudkan pejabat di rumah dan bagaimana pula jenis kelengkapan yang harus disediakan?

Bagi menjawab semua soalan yang disebutkan itu, satu perancangan rapi harus dibuat bagi memastikan perancangan reka bentuk ruang kerja kondusif boleh dilakukan dengan teliti. Ruang kerja adalah ruang yang diperlukan sama seperti ruang tidur dan ruang makan. Kedudukannya sama penting kerana keperluan untuk melakukan kerja adalah antara aktiviti yang dilakukan tidak kira sama ada waktu siang atau malam.

Ruang kerja yang kondusif akan melahirkan ruang kerja yang sempurna, efisyen dan menyenangkan. Faktor ini akan melahirkan mutu kerja yang baik dan produktiviti yang tinggi. Oleh itu beberapa perancangan perlu dibuat bagi memastikan ruang kerja yang disediakan dapat memenuhi keperluan ruang kerja yang kondusif dan efisyen:

  • Aspek keselesaan ruang kerja yang harus diambilkira. Persekitaran tenang, bersih, segar dan menyenangkan adalah baik untuk kerja yang memerlukan tumpuan fikiran dan perhatian dan ini termasuklah kerja kerja yang memerlukan pengolahan daya cipta yang tinggi. Oleh itu segala gangguan dari luar perlu dielakkan. 
  • Lantai ruang kerja perlulah sentiasa bersih. Oleh itu pemilihan bahan kemasan semestinya mesra pengguna dan pilihlah bahan yang mudah dibersihkan dan tahan lasak bagi kegunaan pergerakan kerusi dan meja.
  • Ruang kerja yang baik adalah ruang kerja yang terang. Oleh itu keperluan cahaya yang cukup adalah diperlukan sama ada pencahayaan semula jadi atau buatan. Susunan lampu yang cukup seperti lampu am dengan disokong dengan lampu tumpu.
  • Sistem pengaliran udara mestilah cukup, sistem aliran udara mekanikal hendaklah digunakan sekiranya sistem aliran udara semula jadi tidak mencukupi. Ini kerana ruang kerja yang tidak baik pengaliran udara akan menyebabkan ruang menjadi bahang dan menyebabkan ruang kerja tidak selesa dan boleh menyebabkan penurunan produktiviti.
  • Reka letak peralatan dan keperluan melakukan kerja mestilah teratur dan kemas. Ruang penyimpanan yang cukup haruslah disediakan bagi mengelak peralatan bersepah. Susunan yang teratur dapat memudahkan pergerakan dan membangkit semangat untuk melakukan kerja.
  • Bagi ruang kerja yang memerlukan sistem akustik yang baik maka ruang kerja itu mestilah dikemas dengan sistem penghadang bunyi yang baik. Antara ruang kerja mengeluarkan bunyi yang bising adalah seperti ruang kerja bagi studio muzik.
INFO: Perancangan ruang kerja

Perancangan yang baik dengan mengambil kira semua keperluan dan dilakukan secara berhati-hati adalah kunci kepada kejayaan persekitaran ruang kerja yang berjaya. Antara perkara-perkara yang perlu dipertimbang dalam merancang ruang kerja adalah :-

  • Kenal pasti ruang dalam rumah yang difikirkan sesuai dijadikan ruang kerja. Pilih sudut dalam rumah yang boleh menempatkan meja dan rak atau bilik yang tidak digunakan. Ruang loteng di atas rumah atau ruang garaj bersebelahan rumah adalah kawasan sesuai dijadikan ruang kerja atau pejabat rumah.
  • Pemilihan perabot dibuat mesti merujuk kepada keluasan ruang. Pemilihan meja pejabat yang sesuai perlu kerana ketika ini meja pejabat menyediakan reka bentuk meja kerja secara bersepadu dengan rak, meja komputer, tempat CPU yang boleh menjimat ruang. Ada sistem meja pejabat dibuat secara modular yang disesuai dengan keluasan ruang.
  • Sebelum membeli perabot ruang kerja pastikan membuat ukuran yang tepat. Tugas ini sangat penting kerana memudah untuk menempatkan perabot dan peralatan yang diperlukan. Dengan ini membolehkan keselesaan perabot yang maksimum dapat dicapai.
  • Pemilihan ruang pejabat yang dikenal pasti mestilah mempunyai kemudahan seperti bukaan tingkap dan pintu. Ini memudahkan aliran udara dan pergerakan keluar masuk yang tidak mengganggu pintu masuk utama rumah anda. Adalah lebih baik jika ruang ini berdekatan dengan bilik air atau tandas.
  • Walaupun ruang pejabat terletak di rumah, ini tidak menjamin tahap keselamatan boleh diabaikan. Keselamatan perlu dititikberat kerana ruang ini menyimpan peralatan berharga seperti komputer dan lain-lain. Setiap bukaan mestilah berkunci dan mempunyai tahap kawalan keselamatan yang tinggi.
  • Dengan adanya kemudahan teknologi maklumat (ICT), segala kerja dan hubungan dilakukan secara dalam talian (online). Ini sudah tentu menjimatkan masa dan tenaga. Selain daripada itu keperluan mekanikal dan elektrikal (M & E) perlu diambil kira seperti punca elektrik dan punca penyambungan telefon kerana ruang tidak berfungsi sepenuh sekiranya keperluan M & E ini tidak disediakan.
  • Membuat perancangan bagi menyediakan ruang penyimpanan yang secukupnya kerana biasanya ruang kerja dan pejabat rumah akan menghadapi masalah untuk menyediakan ruang penyimpanan. Masalah ini akan timbul kerana pejabat rumah mempunyai ruang yang terhad. 

    0 comments:

    Scrapbooking at WiddlyTinks.com
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...