Subscribe:

Ads 468x60px

Sunday, September 18, 2011

Makanan Hijau Penting


KITA sering beranggapan lemak tidak baik untuk kesihatan. Pada awal 1980-an, piramid makanan dicipta dengan meletakkan karbohidrat di bahagian paling bawah (makanan yang perlu diambil dengan kuantiti tinggi) manakala minyak/lemak di bahagian paling atas (diambil sedikit).

Mereka menyarankan orang ramai mengurangkan pengambilan lemak dan melebihkan pengambilan karbohidrat. Akibatnya, sejak lebih 20 tahun lalu, pertambahan orang yang mempunyai berat badan berlebihan meningkat daripada 25 peratus kepada 65 peratus.

Pendapat peribadi pakar nutrisi dari Kanada, Dr Udo Erasmus, perlu diberi perhatian bagi mengetahui apa yang baik dan tidak baik diambil untuk menjaga kesihatan.

Dr Udo berpendapat, karbohidrat akan menjadi makanan yang kurang penting tetapi manusia perlu mengambil asid lemak yang datang daripada lemak, asid amino daripada protein serta mineral dan vitamin daripada makanan yang dimakan.

Dr Udo, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian Zoologi dan pengkhususan Psikologi daripada Universiti British Columbia selain bidang biokimia dan genetik, mengadakan promosi mengenai gaya hidup sihat di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

“‘Perlu’ bererti molekul yang tidak boleh dibuat di dalam badan anda tetapi anda mempunyai bahan itu untuk menjadi sihat supaya ia ada untuk dibawa dari luar, sama ada daripada makanan atau makanan tambahan.

“‘Penting’ juga bermakna, jika tidak mendapat cukup bahan itu, kesihatan anda terjejas, gejala kekurangan dan degeneratif timbul. Tiada karbohidrat yang penting menurut definisi ini tetapi asid lemak menepati definisi ini,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan orang berpendapat, jika makan lemak, mereka mendapat lemak. Bagaimanapun, berikutan piramid makanan itu dibentuk, mereka mengurangkan makanan berlemak, tetapi masih gemuk.

Begitu juga penduduk di negara Eropah, pada masa kini 50 peratus penduduk Eropah dan 30 hingga 35 peratus penduduk Asia mengalami berat badan berlebihan. Trend itu menunjukkan individu yang semakin gemuk ada di mana-mana saja di dunia.

Dr Udo memutuskan mencipta sebuah piramid makanan sendiri dengan melihat sifat. Beliau berpendapat, penting untuk semua makhluk di dunia ini mengambil makanan segar, mentah dan organik. Makanan hijau ialah elemen paling penting dan harus ada di dasar piramid makanan.

“Ini kerana apabila anda melihat sekeliling, semua yang hidup di dunia makan banyak makanan hijau. Jika anda lihat sekeliling, anda mendapati banyak sayur-sayuran di dunia berbanding buah-buahan. Berdasarkan ini, sifat memberitahu sesuatu kepada anda yang mana haiwan hidup makan banyak benda hijau berbanding buah-buahan,” katanya.

Oleh itu, Dr Udo mencadangkan kita harus makan sembilan bahagian hijau dan satu bahagian buah-buahan. Buah-buahan bergula membawa gula dalam darah anda dan kemudian mendapatkan toksik dan membawa insulin ke dalam sel anda.

Gula masuk ke dalam aliran darah dan kemudian anda membakar sedikit tetapi yang lain bertukar menjadi lemak iaitu gula menghidupkan pengeluaran lemak.

“Apabila ini berlaku, gula dalam darah menjadi terlalu rendah dan sama ada anda tidur atau teringin mendapatkan sesuatu. Apabila berkeinginan sesuatu, badan memberitahu anda, lebih baik anda makan sesuatu kerana jika tidak anda akan mati.

“Orang ramai cenderung makan karbohidrat dan lemak supaya gula dalam darah meningkat dan mampu kembali ke tahap normal. Ketika gula dalam darah kembali normal, ia dibawa ke pusingan seterusnya di mana gula yang tinggi mencetuskan lebih banyak insulin ke dalam sel yang menyebabkan ketagihan dan makan berlebihan.

“Itulah cara berlebihan berat badan daripada karbohidrat berlaku. Ini ketagihan kuat seperti mendapatkan ketagih kokain dan heroin,” katanya.

Dr Udo berkata, cara betul ialah meletakkan minyak di bahagian bawah piramid makanan dan bukan makanan berasaskan karbohidrat. Sehubungan itu, kita perlu membuat minyak yang baik sebagai bahan api utama dan bukan karbohidrat. Ini kerana minyak yang baik meningkatkan tenaga daripada 40 peratus kepada 60 peratus.

Daripada kajian, atlet boleh pulih dengan segera dengan mengambil satu sudu besar minyak yang baik iaitu 15 mililiter minyak bagi setiap 25 kilogram berat badan. Mereka juga dapat tidur lena, kulit menjadi lebih cantik, ingatan lebih baik, malah boleh melakukan lebih baik dalam bidang sukan.

Di samping meningkatkan tenaga, makan minyak dan lemak yang baik juga boleh mengekalkan tahap tenaga selain menyekat selera makan. Jika orang ramai mula menggantikan lemak dengan karbohidrat, ia menjadi ‘bahan api peralihan’ iaitu daripada karbohidrat yang menjadikan bahan api kepada lemak yang membuat bahan api.

Lemak baik boleh menghidupkan sistem pembakaran lemak, manakala karbohidrat menghidupkan pengeluaran lemak. Selagi orang yang berlebihan berat badan terus makan karbohidrat, mereka akan semakin gemuk.

Katanya, lemak selalu dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular, kanser, radang dan rintangan insulin. Ia juga selalu dikaitkan dengan penyakit degeneratif utama, itu sebabnya kita diingatkan supaya mengurangkan makanan berlemak.

Dr Udo berkata, kita perlu mengurangkan makan lemak yang kurang baik tetapi makan lemak yang lebih baik. Jika anda termasuk di kalangan mereka yang mendapat kuantiti lemak baik dalam diet mencukupi, ini hampir membantu anda mengembalikan semula bahan diperlukan tubuh.

Apabila kita melihat dalam alam semula jadi, cukup banyak minyak yang baik kerana ia semula jadi. Bagaimanapun, sekitar 1900, industri minyak bermula di mana minyak kelapa dan mentega boleh digunakan dalam makanan.

“Masalah dengan minyak yang baik ialah ia mempunyai jangka hayat singkat kerana sensitif kepada suhu, udara dan cahaya. Bagaimanapun, minyak dalam benih dilindungi. Apabila diekstrak keluar, ia menjadi tengik dengan cepat dan lebih sensitif daripada mana- mana nutrien lain,” katanya.

Untuk pasaran global, minyak perlu mempunyai jangka hayat panjang kerana industri lebih berminat mendapatkan minyak yang mempunyai jangka hayat panjang dan bukan penekanan dalam bidang kesihatan.

Jadi, pengeluar beranggapan, menggunakan natrium hidroksida, asid fosforik dan asid untuk menghakis atau asas untuk peluntur minyak. Minyak bertukar menjadi tengik atau bau minyak akan terbebas. Jadi, untuk menghilangkan minyak, ia perlu digoreng pada suhu antara 180° hingga 250° Celsius.

Apabila langkah itu dilakukan, minyak diproses mempunyai jangka hayat sehingga dua tahun ketika dipasarkan. Kerana proses itu, kira-kira satu peratus daripada molekul akan rosak.

“Kita boleh menyukai makanan bergoreng tetapi makanan yang digoreng tidak mungkin menyukai anda. Minyak bersifat ‘pendendam’ iaitu bagaimana kita melayan mereka, mereka akan melayan kita dengan cara sama.

“Jika anda merawat minyak dengan rapi, terutamanya Omega 3, Omega 6 dan asid lemak, mereka mengambil berat mengenai kesihatan anda. Sebaliknya, jika anda merosakkan mereka, mereka merosakkan kesihatan anda.

“Sebagai contoh, jika anda goreng minyak, risiko kanser, penyakit kardiovaskular dan radang akan meningkat,” katanya.

Untuk mendapatkan kesihatan lebih baik, amalkan pengambilan makanan organik kerana kita tidak mahu racun perosak kerana ia membunuh hidupan. Jadi, ia bermula dengan organik dan Omega 3 dan Omega 6 kerana ia satu keperluan.

Katanya, proses mendapatkan minyak yang baik sangat kritikal iaitu minyak perlu dilindungi bermula daripada benih segar, ditapis dan dimasukkan ke dalam botol. Ini bermakna, kita memerlukan mesin untuk memproses untuk melindungi minyak.

Kita boleh mempunyai sehingga enam peratus kalori daripada minyak dengan syarat minyak tidak rosak atau tercemar.

Dr Udo mengesyorkan satu sudu besar minyak yang baik iaitu kira-kira jumlah sama minyak masak yang kita gunakan setiap hari. Ketika musim sejuk, minyak sangat baik untuk pemanasan badan.

Penyelidikan menunjukkan, jika kita meningkatkan penggunaan Omega 3, yang terlalu rendah pengambilannya dalam 99.9 peratus penduduk, kita boleh menangani masalah kardiovaskular, meningkatkan rintangan insulin, hormon mungkin lebih sensitif kepada tisu khusus sel, tidur lebih baik, membantu mengatasi sembelit, kulit cantik, menggalakkan rambut dan kuku tumbuh lebih baik, menyediakan bahan diperlukan di dalam hati dan fungsi buah pinggang, mengekalkan tulang kuat, menghidupkan pembakaran lemak yang baik dalam pengurusan berat badan, baik bagi pembangunan dan fungsi otak, membantu fungsi hormon adrenal serta fungsi hormon lelaki dan perempuan.

Minyak yang baik penting untuk wanita, kanak-kanak dan janin. Penyelidikan menunjukkan, wanita mendapat penyakit kronik seperti radang 15 kali lebih kerap daripada lelaki. Penyelidik berfikir, ia ada kaitan dengan asid lemak penting yang tidak mencukupi.

Oleh itu, penyelidik menasihatkan wanita supaya memastikan mereka mengambil sumber asid lemak diperlu yang mencukupi.

Selain itu, Dr Udo berkata, jika meningkatkan Omega 3, titik IQ kita boleh meningkat enam hingga sembilan mata. DHA terbitan Omega 3 yang sangat penting dalam perkembangan otak.


sumber

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...